^-^

Assalamu'alaikum W.B.T
Halaman ini mengandungi nota-notaku dan nota-nota yang bukan notaku, tu la pasal ditulis not-aku haha

Saturday, 7 January 2012

Ahlullah


Diriwayatkan oleh Anas r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda: “Sesungguhnya Allah mempunyai kerabat-kerabat di kalangan manusia”. Para sahabat bertanya: Siapakah mereka wahai Rasulullah? Baginda menjawab: “Mereka adalah ahli Quran, ahli Allah dan orang-Nya yang istimewa
- Sunan Ibn Majah, Mustadrak al-Hakim
Al-Quran adalah kitabullah ‘Azza Wa Jalla yang tiada sebarang kebathilan. Ia merupakan cahaya yang menerangi kegelapan, petunjuk yang memberi tunjuk ke jalan kebenaran, penasihat yang memberi nasihat terbaik, pembimbing yang memberikan bimbingan terpimpin. Ia juga merupakan bukti yang telus, ia terpelihara daripada sebarang kecacatan. Oleh sebab itulah Rasulullah s.a.w ada bersabda: إِنَّ هَذَا الْقُرْآنَ مَأْدُبَةُ اللَّهِ “Sesungguhnya al-Quran adalah hidangan/santapan daripada Allah ‘Azza Wa Jalla – Sunan ad-Darimi, Mustadrak al-Hakim
Rasulullah s.a.w memberi galakan kepada kita supaya membaca, menghafal, dan mentadabbur al-Quran. Baginda s.a.w ada bersabda: خَيْرُكُمْ مَنْ تَعَلَّمَ الْقُرْآنَ وَعَلَّمَهُ “Sebaik-baik kamu ialah orang yang belajar dan mengajar al-Quran” – Shahih al-Bukhari, Sunan Abu Daud, Jami’ at-Tirmidzi, Sunan Ibn Majah
Sabda Baginda lagi: إِنَّ الَّذِي لَيْسَ فِي جَوْفِهِ شَيْءٌ مِنْ الْقُرْآنِ كَالْبَيْتِ الْخَرِبِ “Sesungguhnya orang yang tiada sedikit pun al-Quran di dalam rongga tubuhnya adalah laksana runtuhan rumah roboh – Jami’ at-Tirmidzi
Iaitu jika hatinya tidak disinari dan di’imarahkan dengan al-Quran maka orang tersebut adalah orang yang binasa dan rugi, orang tersebut tidak bermanfa’at kepada dirinya sendiri malah orang lain pun tidak dapat manfa’at daripadanya. Ia diumpamakan seperti runtuhan rumah yang roboh, ia tidak dapat menjadi tempat perlindungan yang melindungi orang lain dan orang pun boleh dapatkan perlindungan di situ. Tiada faedah lagi rumah roboh itu, tiada kecantikan dan pemandangan yang indah di situ.
Dalam hadits di atas, Rasulullah s.a.w memberitahu kita bahawa Allah mempunyai kerabat/kroni-Nya yang mana para sahabat saling menanyakan Baginda siapakah mereka itu, dengan harapan supaya dapat diketahui ciri-ciri dan kriteria mereka agar dapat dijadikan ikutan dan terkelompok di kalangan mereka (beginilah cara para sahabat menyikapi berita-berita gembira yang disampaikan kepada mereka). Lalu Baginda s.a.w bmenjawab bahawa mereka yang dimaksudkan adalah ahlul Quran, ahlullah dan orang-Nya yang istimewa. Iaitu mereka yang mentadabburi al-Quran, mereka yang menjaga kesucian al-Quran, mereka yang menghafal, mereka yang mengamalkan al-Quran. Mereka inilah penolong Allah. Allah menyifatkan bahawa penolong-penolong-Nya dengan keimanan, ketaqwaan, dan keberanian. Mereka dikhabarkan dengan berita gembira di dunia mahupun akhirat. Ini sebagaimana yang direkodkan Allah dalam surah Yunus (10) ayat ke-62:  إِنَّ أَوْلِيَاءَ اللَّهِ لَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ
Bukanlah yang dimaksudkan dengan ahli Quran itu, membataskan kepada penghafalan ayat-ayatnya semata-mata dan mengulang-ulang bacaannya sahaja tanpa tadabbur, tanpa keta’atan serta mengikat diri dengan hukum-hakam yang terkandung padanya.
Ahli Quran yang dimaksudkan ialah orang-orang yang beriman terhadap Allah, ta’at perintah-perintah-Nya, menjauhkan diri daripada larangan-larangan-Nya, mengimarahkan Quran di dalam dadanya, mengikat lidah dengan membacanya, tunduk patuh kepada hukum-hakamnya. Mereka inilah orang-orang yang mendapat rahmat dan ni’mat Allah.
Abdullah bin Abbas berkata: من قرأ القرآن واتبع ما فيه هداه الله من الضلالة ، ووقاه يوم القيامة سوء الحساب mustadrak al-hakim. Sesiapa yang membaca al-Quran dan mengikuti apa-apa yang terkandung di dalamnya maka Allah akan menghidayahkannya daripada kesesatan serta memeliharanya daripada perhitungan buruk pada hari kiamat kelak. Kata-kata Ibn ‘Abbas ini bersesuaian dengan firman Allah di dalam surah Thoha (20) ayat ke-123: فَمَنِ اتَّبَعَ هُدَايَ فَلَا يَضِلُّ وَلَا يَشْقَى Maka sesiapa yang mengikuti petunjuk-Ku, dia tidak akan sesat dan tidak akan binasa.” Ini adalah jaminan daripada Allah, iaitu sesiapa sahaja yang ittiba’ Quran natijahnya ialah dia tidak akan sesat di dunia dan tidak akan celaka di akhirat.
Oleh itu marilah kita membaca al-Quran, marilah kita memahami maksud ayat-ayat al-Quran, marilah kita tadabbur ayat-ayat al-Quran, marilah kita ta’at dan patuh terhadap ajaran serta panduan al-Quran, marilah kita menghafal al-Quran, marilah kita budayakan amalan-amalan ini, kita ulang-ulang setiap hari. Mudah-mudahan kita tergolong di kalangan orang yang istimewa di sisi Allah.

No comments:

Post a Comment